Murid pukul guru, guru pukul murid

Salam muhibbah.

Dua kejadian baru-baru ini iaitu "Guru patah hidung dipukul pelajar" dan "Murid ditumbuk guru meninggal dunia" membuatkan saya terfikir sejenak. Adakah dunia kini sudah hilang sahsiah dan akhlak terpuji?

Ya, memang benar. Tambahan pula, menghampiri akhir zaman. Malangnya bagi umat Islam, tindakan sebegini hanya sekadar "melampiaskan simpati" daripada "membetulkan akhlak". Kebanyakan generasi muda kini disogokkan dengan cara pendidikan ala Barat, iaitu menggunakan pendekatan psikologi dan komunikasi 'lemah lembut'.

Adakah pendekatan ini berkesan? Cuba kita renung kembali satu contoh didikan di dalam Islam, cara mendidik anak untuk bersolat. Anak-anak diperintah untuk belajar solat seawal umur 7 tahun lagi. Dan ROTANlah mereka ketika umurnya 10 tahun jika tidak menunaikan solat. Lihat tindakan ROTAN tersebut untuk mengajar anak-anak.

Adakah merotan ini suatu tindakan yang tidak bertamadun? Tidak. Islam sendiri menggunakan kaedah rotan untuk mengajar. Maka tidaklah salah pendidikan secara fizikal diterapkan dalam pelbagai aspek selain daripada solat. Dengan cara merotan ini, memberi kesedaran kepada anak-anak agar merubah akhlaknya secara serius, dan bukan main-main.

Insya-Allah hasil didikan sebegitu akan membentuk Muslim yang berakhlak mulia, dapat membezakan antara yang salah dan yang benar dan juga tindakan mana yang terbaik untuk dilaksanakan.

Comments

Popular Posts