Dendang Perantau

Assalamualaikum.

Lama rasanya waktu yang telah berlalu pergi sejak kali terakhir saya menulis di blog ini. Kesibukan sebagai pendidik (baharu) mungkin membataskan ruang masa untuk mencoret sesuatu.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana ditempatkan di sekolah luar bandar. Maklumlah, kos hidup di bandar sangat tinggi. Dengan sewa rumah hanya sekadar RM200, dan purata harga makanan adalah separuh daripada harga di Kuala Lumpur, saya rasakan kehidupan saya selesa di sini.

Oh terlupa pula untuk mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada rakan-rakan saudara muslimin dan muslimat yang sudi membaca blog ini. Terlambat sedikit. Maaf.

Adat perantau, berada jauh di negeri orang, sering kita teringat kampung halaman sendiri. Oleh kerana jarak perjalanan yang agak jauh dari tempat saya bekerja ke kampung iaitu sekitar 7 jam menaiki kenderaan sendiri, saya hanya mampu berdoa agar saudara-saudara saya di kampung sihat dan sejahtera. Adalah sangat mustahil untuk saya berulang alik ke kampung sementelah jaraknya yang begitu jauh.

Oh ya, kerajaan mengumumkan bahawa setiap kakitangan kerajaan akan mendapat bantuan sara kewangan sempena Aidilfitri ini sebanyak RM500. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga bantuan kewangan terutama kepada saya yang masih bujang dan memerlukan penggunaan wang yang banyak (bayar bil, kereta dan sebagainya..). Saya sangat kesal, ada juga segelintir rakan-rakan saya yang mengeluh dan tidak kurang juga yang mengata bukan-bukan. Bukankah itu lebih baik daripada tiada langsung? Tadahlah tangan, bersyukur kepada Yang Maha Esa.

Rasanya itu coretan saya buat ketika ini. Insya-Allah ada masa lapang, saya akan menulis semula. Sekian.

Rujukan berita: Berita Harian Online

Comments

Popular Posts