Tips kepada calon UPSR 2012


Assalamualaikum. Salam Isnin.

Esok sudah bermula peperiksaan UPSR bagi murid tahun 6. Setelah 6 tahun berhempas pulas, tiba saat untuk membuktikan keupayaan untuk mencapai kejayaan. Saya ucapkan selamat berjaya kepada anda.

Kebiasaannya guru-guru yang terlebih keujaan mereka berbanding dengan murid itu sendiri. Hehe. Kepada guru-guru semua, tahniah diucapkan kepada anda kerana dengan sabar dan lembut mendidik mereka hingga ke hari ini. Moga dengan rahmat-Nya apa yang telah kita usahakan dapat melahirkan modal insan yang beristiqamah, bertaqwa dan cemerlang sebagai pelapis generasi masa depan.

Diharapkan selepas berakhirnya UPSR, aktiviti yang bermanfaat dapat diisikan kepada murid-murid ini sebagai persediaan melangkah ke alam persekolahan menengah. Besar lagi cabaran ketika usia menginjak ke alam belia ini jika akhlak dan gaya hidup murid ini tidak dibawa ke haluan yang betul.

Saya panjangkan tips yang boleh kita lakukan ketika saat akhir sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

1. Tidur secukupnya sekurang-kurangnya 8 jam supaya kita cergas dan cerdas ketika menjawab soalan.

2. Bersarapan dengan makanan yang merangsang minda seperti kurma, kismis dan susu. Jangan makan terlalu kenyang kerana akan menganggu tumpuan menjawab.

3. Sentiasa berselawat dan membaca al-Quran selepas solat Subuh pada hari peperiksaan. Mulakan menjawab dengan Basmallah dan sedikit zikir supaya tidak gundah gulana.

4. Jika ketika menjawab soalan, fikiran terganggu, regangkan sedikit jari jemari dan goyangkan sedikit tengkuk untuk mengelakkan kekejangan otot.

5. Setelah habis peperiksaan jangan berfikir tentang apa yang telah kita jawab. Lepaskan tekanan itu dengan membaca Astaghfirullahal 'Azim supaya kita merasa tenang.

Moga tips yang saya berikan ini dapat memberi kelebihan kepada calon-calon UPSR kerana inilah kali pertama mereka menghadapi peperiksaan besar yang menentukan hala tuju mereka untuk ke peringkat menengah.

Sekian, Wassalam.

Comments

Popular Posts