Satu bahasa, satu bangsa

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, ada juga kesempatan saya pada tika ini untuk menaip satu entri. Maklumlah, tugas sebagai pendidik memerlukan komitmen yang tinggi dan usaha yang berganda untuk kemajuan anak bangsa. Kali ini saya ingin mengulas mengenai Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung pada bulan Oktober setiap tahun.

Sebut mengenai bahasa, ia adalah satu bentuk komunikasi antara manusia dan manusia yang lain dalam bentuk tutur kata atau isyarat yang mudah difahami oleh kedua-dua pihak. Bahasa merupakan elemen untuk menyampaikan kehendak dan kemahuan setiap individu. Tanpa bahasa, manusia tidak dapat berkomunikasi.

Dalam konteks di Malaysia, oleh kerana negara kita mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Kita memerlukan satu bahasa tunggal yang digunapakai seluruh sudut dan tempat, tanpa perlu ada bahasa lain yang menganggu perjalanan bahasa tunggal tersebut. Dalam persekitaran dan suasana di Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

Dalam mengembangkan kemajuan Bahasa Melayu, kerajaan seharusnya tidak tunduk pada desakan 'amalan demokrasi' kerana 'demokrasi ala Barat' tak pernah sesuai dengan keadaan di rantau Asia Tenggara ini. Kita perlu satu bentuk 'autoritarian' dalam mewujudkan satu bangsa yang bangga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian.

Jika di Thailand dan Indonesia boleh berjaya membentuk identiti bangsa melalui penggunaan bahasanya, mengapa tidak kita? Lihatlah betapa ramai etnik dan kaum lain masih tidak dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Jangan kita pandang pada warga asing yang boleh berbahasa Melayu, selidiki pada rakyat Malaysia sendiri terutama kaum bukan Melayu. Berapakah banyakkah penguasaan mereka?

Contoh terbaik apabila terlihat di papan tanda sekitar kita. Ada yang langsung tidak menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu apabila hanya Mandarin dan Inggeris sahaja yang dipaparkan. Apakah itu mahu kita tunjuk sebagai 'kemajmukan'?  Sedang dalam perlembagaan Persekutuan sudah mengangkat darjat bahasa Melayu, maka apakah kita pula yang merendahkannya? Fikir-fikirkan.

Comments

Popular Posts