Sejarah perlu diberi nafas baharu

Salam 1Malaysia.

Hari kemerdekaan hampir tiba. Kalau kita lihat sambutan untuk merayakan kemerdekaan nampak seperti hebat. Namun, cuba anda tanya pada anak-anak muda kini. Adakah mereka tahu siapa dan bila kemerdekaan diperoleh?

Barangkali mereka hanya tahu tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Itupun kerana setiap tahun didendangkan dengan lagu Sudirman atau melihat pada kalendar. Atau paling tidak, mereka hanya tahu siapa Perdana Menteri yang berusaha ke arah kemerdekaan. Jika suasana ini berterusan, tidak mustahil 30-40 tahun kemudian, tiada siapa lagi tahu peristiwa kemerdekaan negara ini.

Jika kita lihat faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala ini, kita dapat perhatikan bahawa ramai guru-guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah, hanya sambil lewa mengajar. Mungkin kerana guru tersebut tidak suka Sejarah atau juga mahu menghabiskan sukatan sahaja. Hasilnya pelajar melihat pembelajaran Sejarah sangat membosankan.

Sampai masanya kita ubah senario ini. Sejarah perlu diberi tunjuk ajar yang baharu. Bukan sekadar membebel di dalam kelas, melihat tulisan yang panjang di papan hitam. Sejarah kini wajib dipertontonkan kepada pelajar dengan cara yang menarik dan menghiburkan.

Jika kita teliti pengajaran Sejarah di negara Amerika Syarikat, misalnya, tokoh-tokoh sejarawan negara tersebut banyak bekerjasama dengan produser-produser filem atau dokumentari untuk menerbitkan bahan-bahan sejarah secara teknik lakon semula. Dan setiap dokumentari video tersebut dihasilkan mengikut peringkat umur. Untuk peringkat kanak-kanak, disediakan di dalam bentuk kartun dan untuk yang lebih dewasa, diberi penerangan dengan bentuk gambar-gambar atau lukisan yang diolah semula.

Inilah yang perlu kita contohi. Bukan memenuhkan buku teks dengan tulisan yang panjang tanpa berpenghujung. Perbanyakkan video yang menarik dan menghiburkan. Zaman ledakan Sains dan Teknologi inilah yang perlu diambil peluang untuk menghasilkan video mengenai Sejarah negara. Kementerian terlibat juga perlu mengambil inisiatif ini sebelum melihat generasi akan datang buta sejarah.

Comments

Popular Posts