Selamat Hari Wilayah Persekutuan!


Oleh kerana ini adalah entri pertama saya, saya ucapkan Selamat Datang! dan oleh kerana juga hari ini adalah Hari Wilayah Persekutuan, Selamat Menyambut Hari Wilayah!

Walaupun saya bukan warga WP, tetapi saya juga tumpang gembira untuk menyambutnya kerana saya belajar di dalam kawasan WP. WP ini unik kerana ia bagai sebuah negeri tetapi tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri di dalamnya. Ia juga ditadbir khas oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebagai sebuah entiti berasingan dengan negeri lainnya, sewajarnya warga WP merasa bangga menjadi sebahagian daripadanya.

Di WPlah, 'minda kelas pertama' wajar dimulakan. Apa yang saya maksudkan dengan minda kelas pertama ini? Ia berkaitan dengan sifat, perawakan, perwatakan serta jati diri seseorang warga WP. Kita sering lihat, sebagai contoh, selepas selesai sesuatu acara keramaian, kita akan dapati sampah bertaburan di sekitar kawasan. Ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada warga luar terutama warga asing atau pelancong. Dari sini kita kena mengubah minda kita supaya membuang sampah di tempat yang sepatutnya.

Selain itu, warga WP perlu suatu identiti yang menggambarkan dirinya sebagai warga WP. Dan WP sudah mempunyai benderanya sendiri bagi mewakili WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kibarkan bendera WP sebagai tanda bangga dengan entiti WP.

Masalah mat rempit, dadah dan keruntuhan akhlak di kalangan warga muda WP juga perlu diberi perhatian serius. Di sini keprihatinan warga WP diperlukan untuk mengubah masalah sosial ini kepada sebuah kota metropolis yang menjadi contoh berakhlak murni kepada negeri-negeri lain. Setiap warga WP perlu memahami tanggungjawab besar ini dan jangan mudah mengalah sekiranya ditimpa masalah. Fahami ia sebagai suatu ujian daripada Tuhan.

Akhir kata, "Wilayah Persekutuan: Maju dan Sejahtera"

Comments

Popular Posts