Menjunjung Kasih Tuanku sempena Jubli Perak pemerintahan

Sultan Azlan Shah
Dimulakan dengan Ummu Kitab, Al-Fatihah.

Patik sebagai rakyat Tuanku ingin menyembah ucapan Tahniah patik kepada Tuanku atas kegemilangan pemerintahan selama 25 tahun Tuanku ditabal menjadi Sultan, Yang Dipertuan Negeri dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan serta jajahan takluknya.

Selama Tuanku bersemayam di takhta sejak 3 Februari 1984, Tuanku telah berusaha untuk memajukan negeri yang makmur ini agar setanding dengan negeri-negeri lain di dalam Persekutuan ini. Segala perancangan yang Tuanku berikan telah sedikit sebanyak dilaksanakan sebaik mungkin oleh pemimpin-pemimpin negeri sebelum ini.

Patik yang lahir dan membesar di negeri Tuanku merasa bangga atas pencapaian yang dinikmati oleh negeri kesayangan patik ini. Semoga Allah SWT memberi usia yang panjang serta minda yang sihat buat Tuanku agar terus menjadi ketua negeri selama mana yang Tuhan telah janjikan kepada Tuanku. Dan tidak lupa agar Tuanku terus menjadi payung kepada bangsa Melayu dan agama Islam di negeri ini daripada dihujani oleh pelampau dan anasir yang ingin memecah belah perpaduan seluruh umat Melayu Perak.

Patik juga berjanji untuk terus mempertahankan kedaulatan Tuanku serta membantu umat Melayu Perak agar bersama-sama Tuanku sebagaimana di amanah oleh Allah SWT kepada bangsa Melayu untuk menjaga bumi berdaulat ini.

DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!



Comments

Popular Posts